Meninggalkan UMNO Ahmad_Fuad_Hassan

Sebagai Pengerusi Badan Agama Umno, beliau tidak rela membenarkan aktiviti judi loteri dan funfair bagi mengutip dana. Ketika itu banyak kelab malam atau penari kaberat Melayu di bandar-bandar besar untuk mencari rezeki . Beliau mencadangkan menubuhkan kesatuan ulama bagi menyatukan seluruh pendapat ulama di Tanah Melayu. Tulisan beliau bertajuk “Ulama Malaya Belum Bersatu & Belum Mempunyai Organisasi” tersiar dalam lidah rasmi parti -'Suara UMNO'. Katanya, para ulama bagaikan 'sampah' yang dihina dan tidak dihargai langsung kerana tidak ada kekuatan. UMNO pula mengabaikan nasib Natrah yang dimurtadkan pada 1950.

Ekoran itu, pada 15 Ogos 1951, Persidangan Ulama Tanah Melayu telah berjaya di adakan di Kuala Lumpur bagi membincangkan tuntutan tersebut serta merangka Perlembagaannya. Seterusnya pada 24 November 1951, Persidangan Ulama Kali Ke-3 telah di adakan di Bangunan UMNO Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai, Pulau Pinang.Persidangan ini telah berjaya menubuhkan Persatuan Ulama Se-Malaya dan seterusnya ditukarkan kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) atas persetujuan ramai.

Ahmad Fuad menentang Tunku Abdul Rahman bagi jawatan Yang DiPertua UMNO selepas krisis kepimpinan Dato Onn Jaafar.Ahmad Fuad adalah rakan karib Onn Jaafar dan cara politiknya dipengaruhi oleh Onn Jaafar . Onn Jaafar sebagai bekas pegawai daerah Batu Pahat dan berjaya menyelesaikan sengketa kaum di Batu Pahat , mahu membawa bukan Melayu menyertai UMNO. Onn Jaafar meletak jawatan secara tiba-tiba kerana kecewa cadangannya ditolak ahli parti. Ketika itu Malaysia masih dalam darurat (1948-1960) di mana PKM mengangkat senjata, berjuang menentang pemerintahan semula British.